
Membaca Catatan Zunita di Jepun yang ditulis oleh Puan Zunita Ramli seperti membelek sebuah katalog. Apatah lagi, ketika buku ini sampai, ia turut disertakan dengan beberapa keping poskad dan sekeping kad penghargaan daripada beliau.
Saya fikir, latar dan pengalaman beliau sebagai pengasas rangkaian produk Tokyo Organic menjadi nilai tambah dalam gaya persembahan buku ini.
Setiap buku yang dibaca memberi pengalaman yang berbeza, walaupun cara membaca mungkin hampir sama. Ada yang selesa bersuluk, membaca tanpa mahu diganggu. Ada yang memilih untuk diiring dengan getar muzik tertentu agar aliran zen dalam pembacaan lancar dan mengasyikkan.
Kali ini, saya sengaja mencari muzik tertentu sebagai latar yang mengiringi pembacaan saya. Di Spotify, saya menjumpai Japanese Instrumental Songs. Senarai lagu yang ada cukup menggetarkan dan membantu saya untuk larut dalam setiap kata-kata yang dizahirkan.
Malah, ketika mengulit naskhah ini, ia juga ‘mendesak’ saya untuk tidak sekadar membaca. Sesekali, saya akan terhenti untuk mencari maklumat tambahan sama ada di Google, bahkan di YouTube juga. Hanya kerana rasa ingin tahu yang timbul terhadap topik yang sedang dibahaskan beliau.
Antaranya, Dr Tetsu Nakamura – Hero Afghanistan yang Dibunuh, Kekejaman Unit 731, Kuchisake Onna – ‘Wanita Mulut Terbelah’ dan Terjemahan al-Quran Paling Tepat.
Ada pelbagai topik menarik yang dibahaskan. Semuanya disusun dengan baik melalui 12 bab yang diketengahkan; pengenalan, alam, makanan, orang-orang unik, budaya, pendidikan, teknologi, sukan, catatan khas Fukushima, sisi gelap, kisah seram, dan agama.
Membaca sebagai medium untuk kita ‘mengembara’. Namun, jika ada rezeki dan ditakdirkan Tuhan, peluang untuk berkunjung dan merasai sendiri setiap pengalaman yang dikongsikan penulis akan lebih memberi makna, insya-Allah.
Rasai pengalaman membaca buku ini di: