![]() |
Berwang, Austria Kredit : http://www.flickriver.com/photos/tags/berwang/interesting/ |
*Ini bukan entri tentang Berwang, Austria ya kawan-kawan. ;p
Anda pernah dengar orang cakap atau baca ayat ini tak?
“Duit bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan duit.”
Saya mula tahu tentang ayat ini jika tidak salah saya sekitar tahun 2003 atau 2004. Ketika itu, saya kurang percaya dan tidak bersetuju dengan ayat di atas. Bagi saya, “duit adalah segala-galanya dan memang segala-galanya perlukan duit.”
Kenapa saya mengatakan sedemikian?
- Ketika belajar di peringkat diploma, saya tidak mendapat sebarang tajaan mahupun pinjaman seperti rakan-rakan lain. Keluarga pula memberikan wang belanja yang hanya cukup untuk membayar sewa rumah, tambah nilai telefon bimbit, isi minyak motosikal dan membeli beberapa keperluan yang lain. Jadi, saya memang sangat perlukan duit (terutamanya duit lebih) untuk menampung perbelanjaan saya di Kuala Lumpur.
- Apabila terlibat dengan ‘meniaga larut malam’, perbelanjaan saya semakin meningkat. Kos untuk bergerak ke sana sini, tuntutan kehendak yang tinggi (maklum, di usia remaja, apabila melihat teman-teman memiliki atau membeli barangan berjenama, jiwa mudah sahaja terpengaruh) di samping kos belajar membuatkan saya sangat-sangat perlukan duit. Maka, saya menjadi ‘hamba’ duit sehingga alpa dan leka dengan mainan dunia.
- Saya selalu tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman memandangkan kadang-kadang kurang duit untuk membeli tiket bas atau keretapi (hal ini tidak pernah diberitahu kepada keluarga, kecuali hari ini)
Tetapi, semakin meningkat dewasa, banyak perkara yang lebih harus diutamakan. Dan saya mula percaya dengan ayat di atas tadi; “duit bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan duit.”
Kenapa saya mula percaya?
- Apabila menjadi insan berkerjaya (tidak kisahlah makan gaji atau bekerja sendiri), adakalanya kita akan terlalu sibuk menguruskan perniagaan mahupun menyiapkan arahan majikan. Masa yang diperuntukkan kepada keluarga menjadi sangat terhad. Ya, duit ada untuk memberikan keselesaan kepada keluarga, memenuhi keperluan dan kehendak diri, tetapi masa tiada. Mungkin ada di kalangan anda yang bersetuju dan mungkin ada juga yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Apapun, terpulang kepada perhatian mahupun pandangan masing-masing.
- Bagi kaum lelaki, bila sudah berkahwin, segala-galanya perlukan duit. Kita perlukan duit untuk menampung perbelanjaan suami-isteri, kadang-kadang mahu ‘lari’ dari kesibukan kota (jika menetap di Kuala Lumpur terutamanya), mahu pulang ke kampung (terutamanya kampung isteri) dan macam-macam hal lagi yang tidak terjangka. Jika sudah mempunyai cahaya mata, lagilah sangat perlukan duit! Apapun, duit bukan segala-galanya kerana cinta dalam alam rumah tangga amat manis walaupun dikecap tanpa sekeping not pun! Pergh! (Ini sebenarnya ayat ‘lari’ kerana ada kes berlaku, rumah tangga boleh bercerai-berai kerana tiada sekeping not pun untuk meneruskan kelangsungan hidup berkeluarga)
Walau apapun alasan yang diberikan, sebenar-benarnya, setiap daripada kita sangat perlukan duit. Jika tidak, lebih baik peminta sedekah meminta benda-benda lain selain duit, kan? Jika tidak, lebih baik kita duduk sahaja di rumah atau di mana-mana tanpa perlu berusaha untuk memiliki walau sekeping not pun.
Ya, kita wajib menjadi orang berwang; untuk diri sendiri, untuk keluarga, untuk sesiapa yang mungkin perlukan kita!
Peringatan kepada diri sendiri; “Sudah-sudahlah. Usaha lebih lagi demi kelangsungan hidup!”
Category: #SEMBANGPIS