Hafiz Latiff / Bangpis

Catatan-catatan peribadi yang tidak peribadi.

Menu
  • HAI. HALLO. MERHABA.
  • PROFIL
  • BLOG
Menu

PEMBACA PERLAHAN DAN POLIGAMI

Posted on 21/01/2023 by Hafiz Latiff

Saya pembaca yang perlahan. Ada ketika, saya mengambil masa sehingga lebih seminggu untuk menghabiskan bacaan sesebuah buku. Itupun jika buku tersebut benar-benar menangkap perhatian saya untuk diselesaikan.

Jika tidak, selalunya saya akan jadi pembaca poligami. Baca pelbagai buku secara tebuk-tebuk. Bacaan pantas untuk dapatkan maklumat-maklumat tertentu sahaja. Ada yang habis dibaca walaupun akan ambil masa lebih lama. Ada yang saya akui tidak dapat menghabiskan bacaan.

Beberapa hari lepas, sementara menunggu janji temu dengan klien di sebuah kafe, saya memilih untuk mula membaca naskhah tulisan Puan Muzz Ahmad, Memoir di Bawah Langit Aotearoa.

Kisah beliau berhijrah untuk mencari jiwa yang hilang. 12 tahun berkelana di bumi New Zealand, kecekalan dan kekentalan beliau dan keluarganya sangat mencetus inspirasi dan menyentuh emosi.

Seperti yang tertera di blurb buku ini, “Hijrah itu bukan tentang menyempurnakan diri, tapi tentang memperbaiki diri.”

Gaya penceritaan yang lancar dengan sulaman pelbagai peristiwa yang menjadikan emosi turut berombak, membuatkan saya selesai membaca naskhah ini tengah malam semalam.

Saya menemukan secebis nasihat, ketika mana saya memang sedang mencari jawapan kepada hal yang bergelintar di fikiran. Kata-kata oleh Gobind Vashdev yang diselitkan di halaman 68 membekas sehingga usai bacaan.

“Belajarlah mengalah sampai tak seorang pun yang boleh mengalahkanmu. Belajarlah merendah sampai tak seorang pun yang boleh merendahkanmu.”

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk habiskan bacaan. Bahkan, saya tidak pula membaca buku-buku yang lain sepanjang saya mengulit naskhah ini.

Maka, seorang pembaca yang perlahan dan pembaca poligami seperti saya telah ‘ditewaskan’ dengan aliran catatan memoir ini.

Tahniah, Puan Muzz Ahmad. Terus menukil kata dan memberi makna.

Category: #SIBUK (Sembang Industri Buku)

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kategori

Arkib

January 2023
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
« Dec   Feb »
© 2023 Hafiz Latiff / Bangpis | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme