Assalamualaikum w.b.t.
Berikut saya perturunkan sepenuhnya dua buah puisi yang saya deklamasikan ketika program Malam Untuk Gaza yang telah berlangsung pada 13 Disember 2012 di Stadium Melawati, Shah Alam. Maaf kerana tiada gambar mahupun rakaman video yang boleh dikongsikan, memandangkan saya tidak membawa kamera. Terima kasih kepada isteri, Sayidah Mu’izzah yang setia menemani dan menyalurkan semangat.
PERKARANGAN MAUT IV
oleh DR. FAHD RAZY
Zulmat ini yang diladeni adalah malam yang lesu
tanpa relap gemintang, tiada bondong-bondong awan malas
dan wajah tempang bulan seakan-akan mengherdik sejarah
membiarkan diri longlai dalam pasungan nafsu yang merenung
dengan mata merah bertulis K-E-S-U-M-A-T.
Ah! Kerana aku seringkali lupa nama sendiri
lalu aku menamai diri ini – PETUALANG
dan kau adalah – TAKDIR
lantas saban hari tanpa segan malu mengajak
bergurau dengan nasib
sehingga rumah nurani terbakar dalam sejuta malam
yang tidak pernah diingat
tetapi masih berhuruf dalam nota-nota sijjin yang berdebu.
Lihatlah,
Raqib menjadi terlalu sunyi di kanan
dan Atid terlalu sibuk di kiri.
Kita yang bergelar petualang
masih lagikah ketawa dengan salakan sumbang
atau kitakah yang sudah kehilangan mata
untuk tangis dan menggigil lagi?
Ketika nanti mentari menjalar
dan alam berhenti berdenyut
seperti mayat berulat roh-roh itu berjalan
menyeret dosa dan piutang
dan di belakang
angin zalzalah mengaum lapar memburu jelata!
BIAR ZAITUN KEMBALI RIMBUN
oleh NASRIAH ABDUL SALAM
Barangkali, saudara
perkebunan yang kalian gembur buat menyuburkan salam
terlalu kontang untuk menanam persaudaraan
barangkali juga,
benih yang dicambahi tribulasi terlalu kering
hingga yang berbuah bukan lagi mengenyangkan
mereka memaksa kalian memagar kebun kebebasan
dengan tembok penjarahan
hingga yang rimbun tidak lagi meredupkan.
Saudara,
percikan racun dari ludah sang presiden
merontokkan kemanusiaan di perkebunan kalian
hingga terpaksa menuai zaitun yang belum ranum
di luar musim kedamaian.
Kami rindukan pertamuan ke kebun itu seperti dahulu
ketika anggur yang kalian peram tidak pernah memabukkan
dan syai yang dihidang belum berbaur hanyir
juga anak-anak yang menagih halwa merdeka
tidak pernah mengenal Mickey – Minnie
namun tekal berlari atas kerikil taburan menteri,
dengan berani menyeru “Al-Ayyubi! Al-Ayyubi!”
Barangkali, dupa yang kalian simpan sudah bercampur belerang
namun kami mahu bertandang atas undangan keamanan
kerana di sini, kami juga mencari apa yang ingin kalian temui
dan di sana, biarlah zaitun kembali rimbun.
Category: #SEMBANGPIS