Bengkel Penulisan GKLN-KMS-KMB

Assalamualaikum w.b.t.
Pada 8hb April yang lalu, saya telah dijemput untuk menjadi salah seorang pembimbing dalam bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dengan kerjasama Kolej Mara Banting (KMB) dan Kolej Mara Seremban (KMS). Seramai 12 orang peserta yang terlibat. Bengkel diadakan di salah sebuah Rumah Kelab yang sangat selesa di Kota Warisan, Sepang. Kolej Mara Banting menjadi hos kami pada hari tersebut.
556285_10150697943838046_835033045_8972551_981796850_n
Bengkel kali ini, saya bergandingan dengan penulis-penulis muda yang hebat dan berwibawa. Mereka ialah Sdr. Fahd Razy selaku Penasihat GKLN, Sdr. Rebecca Ilham dan Sdr. Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri.
Sesi awal pagi dimulakan dengan Bengkel Penulisan Cerpen & Novel yang dikendalikan oleh Sdr. Rebecca Ilham. Beliau banyak berkongsi tentang proses penulisan melalui pengalaman beliau sendiri terutamanya ketika beliau sedang belajar di luar negara. Saya berasa sangat ‘cemburu’ semasa beliau berkongsi pengalaman proses pengkaryaan ketika di luar negara. Betapa bertuahnya dapat mengembara dan merakam setiap kenangan menjadi sebuah karya yang bagus sebagai santapan minda.
398251_10150697937758046_835033045_8972496_1438152147_n
Seterusnya, Bengkel Penulisan Puisi dikendalikan oleh Sdr. Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri. Kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Budaya Dalam Puisi’ disampaikan dengan cara yang cukup santai tetapi berilmu. Puisi memainkan peranan yang besar dalam sosio budaya masyarakat Melayu. Para peserta mendapat pencerahan yang lebih jelas tentang penulisan puisi pada sesi kali ini. Beliau banyak berkongsi melalui pengalaman beliau dalam menghasilkan puisi-puisi yang memanusiakan manusia. Saya juga berasa ‘cemburu’ dengan setiap karya yang dihasilkan oleh beliau.
DSC07887
Selepas makan dan solat Zuhur, Sdr. Fahd Razy berkongsi pula pengalaman serta ilmu tambah yang boleh membantu para peserta untuk berkarya. Di samping itu, beliau turut berkongsi tentang peranan yang dimainkan oleh GKLN, peluang-peluang yang bakal para peserta perolehi setelah menjadi ahli GKLN dan yang paling utama, beliau menghadiahkan Kumpulan Puisi Menggeledah Nurani yang mengumpulkan 80 buah puisi karya beliau kepada mereka yang dapat menjawab soalan beliau. Mereka dikehendaki menyenaraikan nama-nama Sasterawan Negara sebelum mereka layak mendapat hadiah tersebut. Selain Kumpulan Puisi Menggeledah Nurani, terdapat juga Antologi Juzuk (GKLN) dan Antologi Res Judicata (HSKU 2010) yang menjadi rebutan para peserta.
538579_2887025178860_1357093445_32126003_1881423029_n
Sesi seterusnya dikendalikan oleh saya sendiri dengan topik ‘Terjah Media & Etika’. Sesi saya lebih kepada memperkenalkan medium-medium yang sesuai untuk mereka menghantar karya mereka, bagaimana menghantar karya, format penulisan, etika sebagai penulis, hak eksklusif penerbitan dan sedikit suntikan semangat sebagai bekalan sebelum mereka menulis.
DSC07914
Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian cenderahati (saya sangat suka dengan cenderahati tersebut!) oleh Sdr. Che Wan Irshad & Sdr. Rafie Izwan kepada para pembimbing. Usai majlis penutup, mereka berkumpul untuk sesi post-mortem sambil menikmati jamuan petang yang disediakan.
524615_10150697964608046_835033045_8972696_657033973_n
Sekalung penghargaan kepada Grup Karyawan Luar Negara kerana sudi menjemput saya sebagai salah seorang pembimbing pada sesi kali ini. Juga kepada Kolej Mara Banting, tahniah kerana berjaya melaksanakan program ini dan menjadi hos yang sangat baik. Tidak lupa kepada Kolej Mara Seremban yang turut menyokong program ini.
Tahniah kepada para pembimbing! Semoga kita dapat bekerjasama lagi suatu hari nanti, insyaAllah. =)