Assalamualaikum w.b.t.
Apa khabar semua? Semoga sihat-sihat selalu. Saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan kalian.
Bulan Disember menjadi Bulan Sastera untuk saya dan sebilangan besar penulis muda (kalau boleh dikira begitu). Dari awal bulan sehinggalah ke penghujung Disember ini, banyak masa diluangkan untuk acara-acara sastera dan juga penghasilan karya-karya baru.
Awal bulan, saya banyak habiskan masa untuk menyiapkan sebuah artikel dan juga beberapa buah puisi yang akan dimuatkan dalam majalah Tunas Cipta keluaran Januari 2012. Peluang yang diberikan oleh editor iaitu Encik Armin kepada saya untuk mengisi ruang Buah Pena Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) diterima dengan hati yang terbuka.
Selepas menghantar bahan-bahan yang diminta oleh Encik Armin, saya sempat menyiapkan kerja-kerja pentadbiran untuk AL HAFIZ CONSULTANTS dan berjumpa dengan beberapa orang klien.
Bermula dari 14 Disember sehingga 16 Disember, saya sibuk menghadiri Bengkel Pemantapan Karya Alumni MPR yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seramai 21 orang peserta telah mengikuti bengkel ini. Saya dilantik menjadi Penghulu dan tanggungjawab itu digalas dengan rasa yang berbaur dalam diri. Apapun, setiap perkara yang berlaku membuka ruang yang baru kepada saya untuk lebih maju ke hadapan, insyaAllah. Melayan karenah adik-adik (kerana saya peserta paling tua) menjadi kenangan indah ketika berbengkel di sana. =)
Peserta-peserta bergambar kenangan bersama-sama urus setia dan mentor.
Seterusnya, jadual saya dipenuhi dengan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III yang diadakan di Biro Tatanegara, Jalan Bellamy pada 16 Disember sehingga 18 Disember. Selama tiga hari berkampung di situ, saya menggalas tugas untuk menguruskan dewan seminar terutamanya bahagian pengerusi majlis, menggantikan air mineral untuk pemakalah-pemakalah dan moderator, juga membantu mana-mana yang dirasakan perlu oleh jawatankuasa penganjur iaitu Persatuan Penulis Nasional (PENA). Pada malam kedua, saya mendeklamasikan puisi “PANTUL” sempena Malam Genta Puisi PENA-ASWARA.
Ketika mendeklamasikan puisi “PANTUL”
Usai kesemua acara sastera tersebut, kini, menyibukkan diri untuk menyiapkan projek-projek tertangguh yang tarikh akhirnya semakin dekat. Ya Allah, mohon diberikan kekuatan dan ilham-Mu.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2012 kepada anda semua. Jutaan terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus terhadap perjalanan hidup saya. Semoga 2012 akan melakar sejarah demi sejarah baru dalam ‘buku’ kita.
Sampai berjumpa lagi! =)
Category: #SEMBANGPIS