Assalamualaikum w.b.t.
Syukur, alhamdulillah… Semalam, saya dijemput untuk menghadiri sebuah majlis penyampaian hadiah. Dan jemputan yang saya penuhi itu rupa-rupanya memberi kejutan yang amat besar kepada saya selama 26 tahun menumpang hidup di bumi milik-Nya ini.
Seawal pukul 6 petang, saya sudah tiba di lobi Hotel Royale Chulan yang bertempat di Jalan Conlay (berhampiran Pavillion dan bersebelahan Pusat Kraftangan KL) bersama-sama dengan mentor saya dalam bidang penulisan puisi, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri.
Usai solat Maghrib, kami melangkah ke kaunter pendaftaran. Saya yang dijemput sebagai salah seorang pemenang hadiah tersebut berasa amat terkejut kerana rupa-rupanya saya memenangi salah satu hadiah utama bagi kategori puisi pada malam itu. Dan, alhamdulillah… Puisi ‘PANTUL’ telah memenangi hadiah utama kategori puisi bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU) bagi tahun 2010.
Alhamdulillah… Ini merupakan pencapaian terbesar saya sepanjang 26 tahun mengembara di bumi Allah ini. Saya membawa kemenangan ini bersama dengan tanggungjawab yang amat besar, dan insyaAllah, saya akan melakukan yang terbaik di masa-masa akan datang.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga yang selalu menyokong, Sayidah Mu’izzah yang banyak memarahi saya ketika proses menulis dan semua teman yang menjadi sumber untuk saya terus menulis. Terima kasih.
Ucapan tahniah juga kepada semua pemenang HSKU 2010! Anda semua merupakan inspirasi saya. Terima kasih atas tunjuk ajar yang diberikan pada malam semalam.
Anda boleh membaca puisi ‘PANTUL’ dan juga karya-karya pemenang yang lain dengan membeli ‘RES JUDICATA’ di kedai-kedai buku berhampiran. Dapatkan segera! Terima kasih.
![]() |
Kredit: Utusan Publication Sdn. Bhd. |
Puisi ‘PANTUL’ di halaman 136-137.
Selamat Membaca! =)
Category: #SEMBANGPIS