Assalamualaikum w.b.t.
Plagiat itu SALAH! Ya, saya sangat tahu bahawa plagiat itu hukumnya salah. Ia melanggar etika kepenulisan, profesionalisme, malah ia juga turut melanggar prinsip hidup saya sendiri. Mana mungkin saya buta etika sedangkan hidup saya seharian sangat dekat dengan perkataan itu. Malah, kerjaya saya juga menuntut saya untuk terikat dengan etika; etika kerahsiaan maklumat pelanggan, etika persahabatan, etika antara saya dengan pelanggan, etika sebagai perunding kewangan dan sebagainya. Semuanya harus beretika. Malah, bukan sahaja itu, saya juga menjunjung integriti agensi yang diwakili.
Semalam (10/01/2011), saya terpanggil untuk membuka FB saya. Saya terbaca status yang ditulis oleh Hani Salwah Yaakup yang bertarikh 08/01/2011 dan 09/01/2011 berkenaan isu plagiat. Saya baca komen-komen di situ dan tiba-tiba dada saya berdegup kencang. Saya tergamam. Setelah itu, menggagau saya mencari sumber-sumber di internet. Manalah tahu jika orang yang dimaksudkan dalam komen-komen beliau ialah saya dan teman saya, Sayidah Mu’izzah. Dan apa yang dicari telah saya temui.
Sekali lagi, saya tekankan plagiat itu salah. Berikut, saya sertakan proses bagaimana plagiat ini boleh berlaku:
1) 1998-2002: Saya meminati bidang puisi setelah menyertai Deklamasi Puisi Kegiatan Seni Jauhi Dadah di sekolah. Dan mulai saat itu, saya sangat gemar menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran ke atas kertas. Dan, sesekali sekiranya terinspirasi barangkali, saya akan menulis puisi yang saya gemar. Kesilapan saya pada ketika itu adalah kerana sikap saya yang tidak pernah menulis tarikh, masa atau tempat sekiranya saya mencatat sesuatu.
2) 2003-2006: Saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di KL. Dan ketika pulang cuti semester, saya menyelongkar fail-fail lama lalu terjumpa fail yang penuh dengan puisi-puisi yang ditulis di atas kertas ketika zaman persekolahan dahulu. Saya mengambil keputusan untuk membawa fail itu ke KL dan mula memindahkan puisi-puisi yang ditulis itu ke dalam bentuk soft copy. Waktu itu, saya menaip semua puisi dan disimpan dalam satu folder.
3) 2007-2008: Saya mula bekerja sebagai fasilitator program motivasi. Kesibukan menyebabkan saya jarang menulis sepertimana yang saya lakukan semasa sekolah dan di kolej dahulu.
4) 2009-2010: Awal tahun 2009, saya mengambil keputusan untuk muncul semula dalam jagat sastera yang dicintai sejak bangku sekolah lagi. Dan ketika itu juga, saya mengenali Sayidah Mu’izzah lalu memberikan folder yang sekian lama disimpan dalam komputer saya kepadanya untuk disemak.
5) 11/05/2009: Sayidah Mu’izzah telah menghantar 4 buah puisi kepada sorang penulis mapan yang kebetulan ketika itu menawarkan ruang dalam antologi yang bakal diterbitkan dengan niat membantu menaikkan keyakinan diri saya yang sememangnya diakui, saya sangat liat untuk menghantar karya. Namun, hanya dua buah puisi yang dipilih untuk dimuatkan dalam antologi tersebut. Dan ingin saya tegaskan di sini, saya tidak mendapat sebarang honorarium ataupun royalti kerana antologi itu bukan diterbitkan untuk dijual tetapi diberikan kepada penulis-penulis yang menyumbangkan karyanya di dalam antologi tersebut.
6) 08-09/01/2011: Saya terbaca status dan komen-komen di FB Hani Salwah Yaakup yang menunjukkan bahawa status tersebut ditujukan kepada saya dan Sayidah Mu’izzah. Lalu, terus mencari sumber-sumber di internet berkenaan dakwaan tersebut. Sejujurnya, saya tidak ingat langsung bahawa puisi yang dimuatkan dalam antologi itu merupakan puisi salah seorang penulis mapan tanahair.
Susulan daripada hal di atas, saya telah, sedang dan akan mengambil beberapa langkah serta sedaya upaya cuba untuk menyelesaikan perkara ini. Apa yang saya lakukan?
1) Memohon maaf secara peribadi kepada Dr. Zurinah Hassan (penulis asal), pemilik puisi Laut Membiru Bagai Surat Rindu (puisi asal) – seorang yang saya hormati atas kesungguhan beliau dalam memartabatkan puisi tradisional Melayu.
2) Memohon maaf secara terbuka di blog dan laman Facebook saya atas apa yang telah berlaku. Salah tetap salah!
3) Memadam segala entri yang berkaitan dengan puisi Laut Rindu (puisi yang diplagiat) sama ada di blog, laman Facebook saya, mahupun di mana-mana blog atau laman Facebook orang lain.
4) Memaklumkan mengenai karya plagiat tersebut kepada pihak penerbit antologi berkenaan.
Saya mengambil keputusan untuk menghubungi Dr. Zurinah Hassan dahulu bagi menyelesaikan perkara ini sebelum saya memohon maaf secara terbuka di blog ini, juga di laman Facebook saya. Maka dengan itu, petang tadi (11/01/2011) saya telah menghubungi Dr. Zurinah Hassan untuk menjelaskan perkara ini kepada beliau. Alhamdulillah, beliau telah memaafkan saya selagi mana karya yang diplagiat itu tidak mendatangkan untung dengan pemberian honorarium ataupun royalti. Beliau yang saya hormati sangat profesional menangani isu ini dan saya sangat berterima kasih atas budi bicara beliau. Pesanan akhir beliau sebelum menamatkan perbualan, “Buatlah apa yang awak rasa patut”, dan inilah yang saya sedang lakukan. Memulangkan karya asal kepada penulis asal kerana karya itu sebetulnya ialah hak beliau. Dengan ini, saya perturunkan puisi beliau, Laut Membiru Bagai Surat Rindu dan saya sertakan link puisi ini yang saya temui di:
Sekali lagi, saya mohon maaf kepada Dr. Zurinah Hassan atas apa yang telah berlaku dan terima kasih kerana sudi memaafkan kami. Segala nasihat yang diberikan juga akan disemat kemas dalam jalur hidup saya, insya-Allah.
Segala kritikan, teguran dan apa sahaja bentuk perkataan yang diberikan kalian kepada saya dialu-alukan dengan ucapan terima kasih. Saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Terima kasih kepada yang menyokong, dan tidak lupa juga yang memberikan perhatian kepada kami.
Sekian, terima kasih.
MOHAMMAD HAFIZ BIN ABDUL LATIFF
11-01-2011 (SELASA)
PANDAN INDAH, KUALA LUMPUR.
Category: #SEMBANGPIS
Assalamualaikum Hafiz,
Bagus sudah terbitkan secara terbuka dalam bahasa yang beradab, tidak menghina dan tidak wujud bahasa fitnah. Juga berani mohon maaf terang-terangan. Beza dengan orang yang menimbulkan hinaan, tetapi boleh sahaja berkeliaran tanpa sebarang ucap maaf sedangkan ramai orang sudah lihat bahawa dia sudah menempah keranda sendiri.
Waalaikumussalam Eja.
Alhamdulillah, perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Semoga kita sama-sama mendapat iktibar daripada apa yang telah berlaku. Terima kasih kepada awak dan juga sahabat-sahabat lain yang banyak membantu saya selama ini.
Bagus, ini tindakan yang baik.
Tahniah =)
Assalamualaikum Shida,
Terima kasih atas sokongan yang diberikan. Salam ukhwah.
Hafiz, Every why has its wherefore..and i think u have done all the necessary things accordingly.
"syabbas beta!" – as a father/mother said to a son in a hindi film..hehe
u take care, and may Allah keep u protected, insyallah. 🙂
Assalamualaikum w.b.t.
'Mummy' Nas, ;p
Thanks for your support and advices. Really appreciate it. And Alhamdulillah, I am happy 'coz I still have the strength and courage to move on. Yeah, every why has its wherefore. Totally agree.
Again, thanks for everything. May Allah bless us and keep us protected, insya-Allah.
Take care too, 'Mummy'! ;p
bagus mengakui kesilapan…semoga apa yang anda usahakan selama ini membuahkan hasil satu hari nanti =)