Hafiz Latiff / Bangpis

Catatan-catatan peribadi yang tidak peribadi.

Menu
  • HAI. HALLO. MERHABA.
  • PROFIL
  • BLOG
Menu

Di Sebalik Filem Bollywood

Posted on 29/12/2010 by Hafiz Latiff
bollywood
Kredit: Google
Assalamualaikum w.b.t.
Siapa di antara kalian suka menonton filem Bollywood selain saya? Jika anda peminat filem Bollywood, apakah elemen yang anda gemari ketika menonton filem-filem mereka? Lagu? Tarian? Pelakon? Jalan cerita?
Sewaktu kecil, saya mula menonton filem Bollywood kerana datuk dan juga mama saya sangat suka dengan filem-filem ini. Filem seperti Bobby, Sanggam, Andaz (sekadar menyebut beberapa judul) dan lain-lain sangat melekat di jiwa saya pada ketika itu. Ketika remaja pula, antara filem yang melekat dalam minda saya hingga kini ialah Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Maan, Mujhse Dosti Karoge (sekadar menyebut beberapa judul) dan memasuki alam kolej serta dewasa, antara yang masih diingati ialah Kabhi Kushi Kabhi Gham, Mohabbatein, Kal Ho Naa Ho, Kaho Naa Pyar Hai serta yang terkini, My Name Is Khan, 3 Idiots dan Chak De! India (juga sekadar menyebut beberapa judul).
Apa yang menariknya dengan filem-filem Bollywood dari kaca mata saya? Dan bukanlah bermaksud dengan menulis entri ini, saya tidak menggemari karya-karya hebat penulis dan pengarah filem yang lain. Saya cuba melihat apa yang ada di sebalik filem-filem ini. Jom!
SEMANGAT PATRIOTIK
Boleh dikatakan hampir semua filem Bollywood yang saya tonton amat menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat mereka. Walaupun adakalanya nampak tidak relevan atau logik, tetap saya berasa kagum dengan cara mereka mendramatikkan semangat patriotik itu. Sebagai contoh, dalam filem Phir Bi Dil Hai Hindustani dan Chak De! India (kedua-dua watak utama dilakonkan oleh Shah Rukh Khan).
PERCAYA PADA DIRI SENDIRI
Tidak dinafikan, tema dan persoalan yang dikemukakan dalam kebanyakan filem Bollywood lebih kurang sama. Cinta, kasih sayang, kekeluargaan dan sebagainya. Saya ambil contoh tema percintaan. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, atas rasa percaya pada diri sendiri dan sikap saling bergantungan antara pasangan itu, akhirnya mereka menemukan kebahagiaan dan mendapat restu keluarga.
SEMANGAT KEKELUARGAAN
Sejujurnya, saya banyak kali tersentuh dengan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan dalam filem-filem Bollywood terutamanya Kabhi Kushi Kabhi Gham. Betapa ikatan kekeluargaan yang utuh tidak mampu menjadi pemusnah hidup sesiapa pun. Kerana walau apapun yang terjadi, keluarga tetap menjadi sandaran utama sepanjang hayat kita.
NILAI PERSAHABATAN
Elemen ini juga sangat memberikan kesan yang mendalam kepada saya. Contoh  terbaik ialah filem yang telah memenangi 16 anugerah daripada 31 anugerah di Festival Filem Antarabangsa India yang menerapkan nilai persahabatan yang sangat tinggi iaitu 3 Idiots (lakonan Aamir Khan, Kareena Kappor dan lain-lain). Saya cadangkan anda menonton filem ini. Carilah di mana-mana kedai DVD atau jika anda mempunyai Astro, filem ini ditayangkan di Channel 110 sekarang.
Saya sudah lama tidak menonton filem Bollywood kerana bagi saya, filem-filem sekarang ini sudah tidak berkualiti dan mengesankan seperti dahulu. Kini, lebih banyak aksi ‘seksa’ yang dipamerkan. Lagu-lagu juga sudah tidak banyak yang menyentuh jiwa. Namun, ada juga filem yang masih mendapat tempat di hati saya. Tontonlah filem 3 Idiots, My Name Is Khan dan Chak De! India. 3 buah filem ini antara filem yang berkualiti (dari kaca mata sayalah).
Memetik kata-kata Rancho (Aamir Khan) dalam filem 3 Idiots, “All is Well” (Aal Izz Well). Apa yang tersirat di sebalik tiga patah perkataan itu? Mudah! Jangan takut pada apa yang akan berlaku. Jika anda ingin melakukan sesuatu, teruskan. Jangan takut untuk melakukan kelainan dalam hidup kita. Selalunya, kita terlalu takut untuk menentang arus. Apa yang kita tahu, kita ikut apa yang orang lain lakukan kerana takut gagal dan terlambat, walhal orang lain hanya menjadi garis panduan sahaja kepada kita. Jika kita ingin menjadi luar biasa, kita perlu melangkah keluar daripada kelompok tersebut dan tentanglah arus dengan berani.
Kegagalan ialah awal keberhasilan. Semakin banyak kita gagal, semakin banyak yang kita tahu apa yang kita tidak harus lakukan. Belajarlah daripada kegagalan tersebut dan keluar dari kebiasaan itu. Kita pasti akan menemukan titik luar biasa yang terpendam dalam diri kita sejak sekian lama. Dan yang paling penting, jangan diulang kegagalan yang sama!
Sampai sini dulu. Semoga bertemu lagi. =)
*Mungkin terdapat salah ejaan terhadap judul filem-filem di atas. Ralat harap dapat dimaafkan.
Category: #SEMBANGPIS

8 thoughts on “Di Sebalik Filem Bollywood”

  1. Sayidah Mu'izzah says:
    29/12/2010 at 3:24 AM

    Assalamualaikum Hafiz,

    Eja juga sukakan bolywood. Tapi, filem-filem 90-an hinggalah awal tahun 2000. Setelah itu filem bolywood kelihatan hilang identiti 'Mere India'nya. Maka, hilanglah minat terhadap bolywood. Namu, antara pengarah yang masih boleh dipuji sentuhannya ialah Aamir Khan dan Karan Johar. Masih nampak 'Phir Bi Dil Hai Hindustani'nya.
    Ulasan menarik! Keep it up!

    Reply
  2. HAFIZ LATIFF says:
    29/12/2010 at 3:34 AM

    Waalaikumussalam Eja.

    Terima kasih. Kala usia semakin meningkat, pemikiran juga boleh berubah. Saya masih mencari karya-karya hebat yang lain untuk dikongsikan. Mungkin lepas ini memetik filem Korea pula? Pasti awak suka kan? Hehehe. ;p

    Reply
  3. Fakrul says:
    02/01/2011 at 1:38 AM

    Salam,

    sepanjang hidup aku, cuma 3 filem Bollywood je yang berjaya aku tengok sampai habis.

    1. Kuch Hota pe tah hehe
    2. My Name Is Khan
    3. 3 idiot

    Kalau ada filem yang bagus, kongsikan ya. Boleh menambahkan lagi senarai yang terlalu pendek tu hahaha

    Reply
  4. HAFIZ LATIFF says:
    03/01/2011 at 11:24 PM

    Waalaikumussalam…

    Saudara Fakrul Razzi,
    Terima kasih kerana sudi menjenguk di sini. 3 filem itu memang sangat bagus. Walaupun senarainya pendek, tetapi pilihan yang tepat. Heheh. Insya-Allah, jika ada yang bagus, saya akan kongsikan. Apapun, selamat tahun baru! =)

    Reply
  5. NASRIAH ABDUL SALAM says:
    11/01/2011 at 3:15 AM

    Hafiz; tiba-tiba rasa nak tinggalkan komen di sini.

    akak ingin menambah 2 buah filem bollywood 'wajib' tonton untuk tema patriotik, iaitu: 1. Swades dan 2. Pardes. Kedua-dua filem tersebut dibintangi oleh Shah Rukh Khan sebagai pelakon utamanya. Elemen cinta? tetap ada, tetapi elemen patriotik sudah menenggelamkan unsur cinta biarpun jalan ceritanya tidak dapat tidak telah digerakkan oleh 'cinta'.

    Juga, filem Vaada Raaha – ini juga 'wajib' tonton. sekali lagi diulangi, 'wajib'. Elemen percintaan dalam filem ini terlalu ditenggelamkan oleh elemen-elemen motivasi dalam filem ini. sangat sesuai untuk ditonton oleh orang macam hafiz. Boleh juga dikategorikan sebagai filem 'Tolonglah Tonton'.

    Lagi satu, filem 'Taree Zamen Par' Ini pula masuk kategori filem 'Tolonglah tonton'. Diarahkan oleh Amir Khan dan dibintangi juga oleh Amir Khan (watak utama). Kisah kegigihan seorang guru yang berjaya menemukan seorang murid yang menghadapi masalah kesukaran belajar (iaitu dyslexia) dengan kebolehan diri murid itu sendiri. Langsung tiada elemen cinta, tapi filem ini diangkat sebagai filem terbaik, Amir Khan pula menangi anugerah pengarah terbaik dan pelakon kanak-kanaknya menangi anugerah pelakon kanak-kanak terbaik dalam penyampaian anugerah perfileman di India (cuma akak lupa nama anugerah tu).

    Satu lagi, filem Jodha Akbar. walaupun ini bukan filem 'wajib tonton' tapi masuk dalam senarai 'kena tonton jugak!' Selepas tonton baru hafiz tahu kenapa kak nas kata begini.

    Akan sambung dengan filem-filem lain bila teringat lagi. 🙂

    Reply
  6. HAFIZ LATIFF says:
    11/01/2011 at 4:27 AM

    Assalamualaikum w.b.t.

    Kak Nas,

    Wah! Sangat terperinci komen akak. Mana saya nak cari semua cerita tu kak? Apapun, terima kasih atas cadangan tersebut.

    (Psstt… Akak kaki 'bollywood' ek? Hahaha. Pinjam CD/DVD kalau ada ek?)

    Reply
  7. NASRIAH ABDUL SALAM says:
    13/01/2011 at 12:08 PM

    Macam lah akak tak penah beli CD hindustan depan awak kan…hehe.

    orang selalu beranggapan filem hindustan ni filem cinta 'meleleh'. itu akak tak nafikan. namun bersikap 'selective' dalam menonton filem hindustan sebenarnya akan menemukan kita dengan banyak cerita yang bagus-bagus (dari segi tema dan jalan cerita).

    nota: akak sendiri tak suka filem hindustan yang bertemakan cinta.

    Reply
  8. HAFIZ LATIFF says:
    14/01/2011 at 1:04 PM

    Kak Nas,

    Betul-betul-betul. Sebenarnya, jika kita bersikap selektif dalam memilih apa juga yang kita tonton (tidak kiralah Hollywood, Bollywood, Koreanwood, Melayuwood atau apa lagi wood yang ada. ;p), insya-Allah, kita akan menemukan pelbagai falsafah dan manfaat yang boleh diambil sebagai iktibar dalam hidup kita.

    Nanti saya mahu 'copy' semua lagu dan filem Hindustan daripada Kak Nas, ya? ;p

    Reply

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kategori

Arkib

December 2010
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
« Nov   Jan »
© 2023 Hafiz Latiff / Bangpis | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme