Di Sebalik Filem Bollywood

bollywood
Kredit: Google
Assalamualaikum w.b.t.
Siapa di antara kalian suka menonton filem Bollywood selain saya? Jika anda peminat filem Bollywood, apakah elemen yang anda gemari ketika menonton filem-filem mereka? Lagu? Tarian? Pelakon? Jalan cerita?
Sewaktu kecil, saya mula menonton filem Bollywood kerana datuk dan juga mama saya sangat suka dengan filem-filem ini. Filem seperti Bobby, Sanggam, Andaz (sekadar menyebut beberapa judul) dan lain-lain sangat melekat di jiwa saya pada ketika itu. Ketika remaja pula, antara filem yang melekat dalam minda saya hingga kini ialah Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Maan, Mujhse Dosti Karoge (sekadar menyebut beberapa judul) dan memasuki alam kolej serta dewasa, antara yang masih diingati ialah Kabhi Kushi Kabhi Gham, Mohabbatein, Kal Ho Naa Ho, Kaho Naa Pyar Hai serta yang terkini, My Name Is Khan, 3 Idiots dan Chak De! India (juga sekadar menyebut beberapa judul).
Apa yang menariknya dengan filem-filem Bollywood dari kaca mata saya? Dan bukanlah bermaksud dengan menulis entri ini, saya tidak menggemari karya-karya hebat penulis dan pengarah filem yang lain. Saya cuba melihat apa yang ada di sebalik filem-filem ini. Jom!
SEMANGAT PATRIOTIK
Boleh dikatakan hampir semua filem Bollywood yang saya tonton amat menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat mereka. Walaupun adakalanya nampak tidak relevan atau logik, tetap saya berasa kagum dengan cara mereka mendramatikkan semangat patriotik itu. Sebagai contoh, dalam filem Phir Bi Dil Hai Hindustani dan Chak De! India (kedua-dua watak utama dilakonkan oleh Shah Rukh Khan).
PERCAYA PADA DIRI SENDIRI
Tidak dinafikan, tema dan persoalan yang dikemukakan dalam kebanyakan filem Bollywood lebih kurang sama. Cinta, kasih sayang, kekeluargaan dan sebagainya. Saya ambil contoh tema percintaan. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, atas rasa percaya pada diri sendiri dan sikap saling bergantungan antara pasangan itu, akhirnya mereka menemukan kebahagiaan dan mendapat restu keluarga.
SEMANGAT KEKELUARGAAN
Sejujurnya, saya banyak kali tersentuh dengan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan dalam filem-filem Bollywood terutamanya Kabhi Kushi Kabhi Gham. Betapa ikatan kekeluargaan yang utuh tidak mampu menjadi pemusnah hidup sesiapa pun. Kerana walau apapun yang terjadi, keluarga tetap menjadi sandaran utama sepanjang hayat kita.
NILAI PERSAHABATAN
Elemen ini juga sangat memberikan kesan yang mendalam kepada saya. Contoh  terbaik ialah filem yang telah memenangi 16 anugerah daripada 31 anugerah di Festival Filem Antarabangsa India yang menerapkan nilai persahabatan yang sangat tinggi iaitu 3 Idiots (lakonan Aamir Khan, Kareena Kappor dan lain-lain). Saya cadangkan anda menonton filem ini. Carilah di mana-mana kedai DVD atau jika anda mempunyai Astro, filem ini ditayangkan di Channel 110 sekarang.
Saya sudah lama tidak menonton filem Bollywood kerana bagi saya, filem-filem sekarang ini sudah tidak berkualiti dan mengesankan seperti dahulu. Kini, lebih banyak aksi ‘seksa’ yang dipamerkan. Lagu-lagu juga sudah tidak banyak yang menyentuh jiwa. Namun, ada juga filem yang masih mendapat tempat di hati saya. Tontonlah filem 3 Idiots, My Name Is Khan dan Chak De! India. 3 buah filem ini antara filem yang berkualiti (dari kaca mata sayalah).
Memetik kata-kata Rancho (Aamir Khan) dalam filem 3 Idiots, “All is Well” (Aal Izz Well). Apa yang tersirat di sebalik tiga patah perkataan itu? Mudah! Jangan takut pada apa yang akan berlaku. Jika anda ingin melakukan sesuatu, teruskan. Jangan takut untuk melakukan kelainan dalam hidup kita. Selalunya, kita terlalu takut untuk menentang arus. Apa yang kita tahu, kita ikut apa yang orang lain lakukan kerana takut gagal dan terlambat, walhal orang lain hanya menjadi garis panduan sahaja kepada kita. Jika kita ingin menjadi luar biasa, kita perlu melangkah keluar daripada kelompok tersebut dan tentanglah arus dengan berani.
Kegagalan ialah awal keberhasilan. Semakin banyak kita gagal, semakin banyak yang kita tahu apa yang kita tidak harus lakukan. Belajarlah daripada kegagalan tersebut dan keluar dari kebiasaan itu. Kita pasti akan menemukan titik luar biasa yang terpendam dalam diri kita sejak sekian lama. Dan yang paling penting, jangan diulang kegagalan yang sama!
Sampai sini dulu. Semoga bertemu lagi. =)
*Mungkin terdapat salah ejaan terhadap judul filem-filem di atas. Ralat harap dapat dimaafkan.