Assalamualaikum w.b.t.
Di Malaysia, seperti lazimnya apabila memasuki musim cuti persekolahan iaitu sekitar bulan November dan Disember, akan ada ramailah pasangan yang mengambil kesempatan untuk mencuri ruang bagi melaksanakan majlis perkahwinan mereka. Sememangnya, kedua-dua bulan ini, secara peribadinya, saya merasakan amat meriah selain daripada kemeriahan menyambut bulan Ramadhan dan juga Hari Raya Aidilfitri pastinya.
Melihatkan tajuk di atas, tidak dinafikan entri kali ini berkisar tentang isu perkahwinan. Ya, saya tahu, terlalu banyak blog dan juga sumber dalam internet yang menyentuh hal kahwin ini. Tetapi, saya akan cuba membawa kalian ke sekitar pengalaman saya semasa kecil dan dibandingkan dengan majlis perkahwinan yang kita semua kunjungi sekarang. Dan oleh kerana saya berasal dari Perak, kebanyakan hal yang akan diceritakan berlatar-tempatkan di Perak dan juga melalui pengalaman yang diceritakan oleh Mama saya. Jadi, siapa yang suka menghadiri majlis perkahwinan? Saya – sudah pastinya! =)
Arwah Abah dan Mama saya berkahwin pada tahun 1983. Jadi, beberapa kisah mengenai adat resam dan majlis perkahwinan sekitar era 80-an akan cuba saya kongsikan di sini sebagai rujukan bersama. Mohon maaf kalau ada yang terkurang. Heheh. Baiklah, menurut Mama saya, adat resam majlis perkahwinan di mana-mana negeri pun lebih kurang sama sahaja. Cuma, saya akan lebih tekankan mengenai suasana atau acara yang dilakukan sebelum majlis, ketika majlis berlangsung juga usai majlis perkahwinan tersebut.
Dari awal tahun, penduduk kampung akan mula bermain ‘kutu’ iaitu sejenis permainan yang saya kira sehingga kini masih dilaksanakan. Jika kini, permainan ‘kutu’ ini melibatkan wang, tetapi dahulu, ia melibatkan barang-barang yang akan digunakan ketika majlis perkahwinan. Sebagai contoh, beras, kicap, gula, garam, bawang, cili dan sebagainya. Jadi, apabila tiba hari perkahwinan dan giliran peserta, peserta tersebut yang bakal menjadi tuan rumah akan pergi ke setiap rumah penduduk kampung tersebut untuk mengutip hasil ‘kutu’ beliau. Setiap rumah akan memberi barangan yang berbeza. Ini dilihat sebagai salah satu cara untuk menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh tuan rumah, selain daripada mengeratkan silaturrahim antara mereka semua.
Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, tuan rumah selalunya akan membina pangkin (papan yang dijadikan seperti para) untuk digunakan oleh penduduk kampung ketika mereka datang bergotong-royong untuk menolong memasak dan menyediakan bahan masakan seperti mengupas bawang, memotong cabai (cili) dan melapah daging. Kebiasaannya, kerja ini dilakukan oleh kaum Hawa. Manakala, kaum Adam pula akan memasak nasi minyak dan nasi putih, sesekali ada juga nasi beriyani yang akan dihidangkan ketika majlis berlangsung. Mereka juga akan mendirikan khemah supaya tetamu yang hadir selesa ketika menjamu selera. Semangat bergotong-royong ini saya lihat sudah semakin pudar kini lantaran ramai yang lebih selesa menggunakan khidmat katering kerana ia lebih mudah walaupun terpaksa mengeluarkan duit belanja yang lebih banyak jika dibandingkan dengan masak beramai-ramai.
Apabila pengantin sampai, mereka akan diarak ke dua buah kerusi yang diletakkan di antara khemah tetamu di bahagian hadapan rumah. Semasa diarak, pasangan pengantin akan ditaburkan dengan beras yang digaulkan dengan kunyit oleh ahli keluarga sebagai tanda meraikan ketibaan mereka. Setelah mereka duduk, beberapa orang pemuda akan mula bersilat dan mempamerkan aksi-aksi yang menarik. Usai majlis, pasangan pengantin akan menyalin pakaian mereka dan seterusnya bersiap sedia untuk ‘disiram’ oleh ahli keluarga. Hal ini juga dilihat sebagai cara mengeratkan silaturrahim atau sesi ‘ice-breaking’ di kalangan sanak-saudara. Tetapi, secara peribadinya, saya tidak bersetuju dengan acara ini.
Sebelum mengakhiri entri ini, izinkan saya bercerita tentang menu wajib ketika berlangsungnya majlis perkahwinan di Perak. Antara menu yang serasanya tidak lengkap jika tidak disediakan ialah Rendang Tok, Acar Rambai dan Jelatah. Manakala, di waktu pagi, selalunya tetamu yang hadir akan dihidangkan dengan Dodol, Wajik dan Kuih Lidah Jin (sesetengah tempat memanggilnya Kuih Kapal, Kuih Lidah Buaya dan Kuih Tiram).
![]() |
Rendang Tok |
![]() |
Jelatah |
![]() |
Wajik |
![]() |
Kuih Lidah Jin |
Jadi, sampai di sini dahulu coretan saya. Semoga dapat memberikan perspektif yang baru berkenaan dengan majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan. =)
Kredit: Google
Category: #SEMBANGPIS
Hafiz,
Entri yang sangat sedap untuk orang yang sangat lapar. Aduyai~
Menarik juga permainan kutu tersebut. Eja sendiri belum pernah mendengarnya. Ini kali pertama.
Sedapnya Rendang Tok~
Assalamualaikum w.b.t.
Eja,
Hahaha. Gambar-gambar yang dipilih sangat menggiurkan, kan? ;p
Saya juga kali pertama mendengarnya petang tadi. Itupun secara tidak sengaja, timbul perbualan tentang hal perkahwinan ketika sedang mengemas rumah bersama-sama Mama dan Adik saya. =)
macam baca buku sejarah. ehehehe.
Assalamualaikum w.b.t.
Wany,
Hahaha. Bolehlah pula, kan? Sekadar berkongsi melalui pengalaman Mama aku dan pengalaman aku sendiri ketika membesar di kampung. Apa kata kau pun buat entri tentang adat resam dan kelainan yang terdapat dalam majlis perkahwinan di tempat kau? ;p
aku suka wajik…nnti ko kawen sediakn utk aku tauuuu!