Salam Aidiladha

masjidil-haram-mekah-saudi-arabia
Kredit: Google
Assalamualaikum w.b.t.
Semoga kalian sentiasa berada di bawah lindungan Allah s.w.t hendaknya, insya-Allah.
Sepertimana yang kita sedia maklum, sambutan Hari Raya Aidiladha seringkali dikaitkan dengan jutaan ummat Islam yang berpusu-pusu menunaikan haji di Mekah. Sungguh bertuah kerana mereka telah terpilih untuk menjadi tetamu di rumah Allah yang agung itu.
Alhamdulillah, malam semalam, saya dan keluarga telah selamat sampai di kampung yang indah ini. Walaupun pada awal perjalanan, kami terpaksa menempuh jalan raya yang sesak dan bertemankan pula hujan yang sangat lebat, ia tidak sekalipun menggoyahkan rasa hati kami yang teruja untuk pulang ke kampung.
Sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman saya iaitu di Bota, Perak mungkin tidak semeriah sambutan di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Maafkan saya kalau tanggapan saya salah. Tetapi, saya selalu mendengar perbualan di antara teman-teman yang mengatakan sambutan Aidiladha di sana adalah lebih meriah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Mungkin ada di kalangan kalian yang berasal dari negeri pantai timur boleh memberikan maklum balas terhadap tanggapan saya ini, insya-Allah.
Apapun, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA kepada seluruh ummat Islam di Malaysia, mahupun di mana sahaja kalian berada. Semoga kita sama-sama dapat menghayati erti pengorbanan yang diterapkan dalam ajaran Islam, seterusnya berjuang untuk mencapai kejayaan yang gemilang, insya-Allah.
Dan saya sangat berharap agar suatu hari nanti, saya juga turut berpeluang untuk menjadi tetamu Allah di Mekah bersama-sama dengan keluarga tersayang, insya-Allah. Amin Ya Rabb.
Semoga kita bertemu lagi dalam entri yang akan datang.