Islam Murtad?!

Assalamualaikum w.b.t.
Merujuk kepada entri saya sebelum ini, saya telah menjemput salah seorang penulis yang bersetuju untuk menjadi kolumnis di blog ini. Alhamdulillah, hasil perbincangan awal telah berjaya menarik minat beliau untuk berkongsi fikrah dengan kita semua, insya-Allah.
Jadi, untuk kali pertamanya dalam sejarah semenjak blog ini diwujudkan, saya menjemput Cik Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, penulis novel remaja JANJI MIFTAHUL RAUDHAH keluaran Galeri Ilmu Sdn. Bhd. untuk berkongsi buah fikirnya di sini. Saya perturunkan sepenuhnya hasil tulisan beliau.
mu'izzah 20 cover novel Janji Miftahul Raudhah
ISLAM MURTAD?!
Oleh Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri

Ini kali pertama saya diminta menulis untuk blogger lain. Sesudah memikirkan topiknya, maka saya memilih topik agama kerana seharusnya yang disampaikan secara meluas itu adalah dakwah. Dan, bagi saya, orang yang tahu itu harus menyampaikan pengetahuannya. Dalam soal agama, setiap orang punya tanggungjawab masing-masing walaupun mungkin dia tidak bergelar ustaz, ustazah atau alim ulama.

Menyentuh isu yang ingin saya kongsikan di sini, ia seperti barah yang sudah parah rebakannya. Jenayah riddah atau murtad sudah terlalu biasa menyentuh gegendang telinga sehingga kita seakan sudah lali dengannya. Jangan kalis dengan soal ini. Hari ini, mungkin orang luar yang menjadi mangsa dakyah kepercayaan lain. Pada masa hadapan, [na’uzubillahi mindzalik] kita tidak tahu nasib kita dan keluarga kita sendiri.

Baru-baru ini, saya dikhabarkan oleh seorang rakan yang sedang menuntut di Rusia dalam bidang kedoktoran bahawa salah seorang rakan kuliahnya mengaku bahawa dirinya Islam Murtad. Kita mungkin pernah dengar istilah-istilah seperti Melayu Murtad, Perak Murtad, Terengganu Murtad dan sebagainya, apabila seseorang itu tidak begitu menguasai jati dirinya. Sekarang, sudah ada istilah baru – Islam Murtad. Pengajaran yang pertama di sini, usah sesekali menggunakan bahasa atau istilah yang tidak elok. Kelak jadi budaya pada orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Maka, apabila rakan saya itu meminta pendapat, saya menegaskan bahawa istilah itu tidak pernah ada dalam Islam. Tidak sesekali. Apabila sudah mengaku ‘Islam Murtad’ maka murtadlah jadinya kerana dia tidak mengamalkan ajaran Islam itu sendiri dengan hati. Saya sempat singgah ke blog pemuda yang mengaku ‘Islam Murtad’ itu. Memang dia tidak percaya kepada Tuhan baik Allah s.w.t mahupun berhala yang disembah oleh kepercayaan lain. Orangnya sangat liberal dan sekular. Namun, bukan itu yang ingin saya bincangkan.

Saya ingin membawa pembaca kepada firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 208:
“Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”

Cuba kita teliti dan tadabbur ayat ini, pada kata ‘keseluruhannya’. Ia bermaksud, apabila Islam, maka Islamlah keseluruhannya yakni Islam itu tidak dapat tidak, harus diamalkan secara total.

Jika dilihat pada nahu ‘masuklah’, dalam Bahasa Arab: Udkhulu, iaitu Fi’il ‘Ammar (kata suruhan), Allah s.w.t menyuruh kita masuk ke dalam Islam dan mengamalkan secara keseluruhannya. Bahkan, tidak bolehlah diamalkan secara juz’i iaitu memilih-milih dalam melaksanakannya, sebagai contoh; kita solat, tetapi kita tidak berpuasa ataupun sebaliknya. Malahan, kita tidak boleh campur-campur mazhab dalam ibadah, contohnya; solat Subuh ikut mazhab Hanafi, Asar ikut mazhab Syafi’e, – kecuali kita harus mengikut ‘Urf iaitu adat sesuatu tempat dalam sesetengah hal selagi ia tidak melanggar batas syarak.

Maka, istilah ‘Islam Murtad’ itu tidak pernah relevan apatah lagi sah. Saya berasa sungguh ralat apabila seorang pemuda Melayu yang belajar dalam bidang kedoktoran iaitu salah satu bidang yang gah, jadi begitu jahil dalam bidang agama. Seharusnya bidang kedoktoran yang menyelongkar ilmu sains manusia mampu merapatkan dirinya kepada mengenal Allah s.w.t. Tidak perlu pergi begitu jauh, cukuplah sekadar melihat betapa Allah s.w.t menyusun anatomi tubuh sendiri, kejadian lahir dan matinya seseorang, dia seharusnya mampu mengagumi kekuasaan Allah s.w.t sebagaimana manusia yang mencintai alam sekitarnya.

Saya tidak tahu apakah pemuda ini punya otak yang masih normal, ataupun sudah rosak dek hari-harinya yang harus menghafal buku teks dengan segala macam teori dan istilah. Wallahu’alam. Harapnya, jika dia masih sihat akalnya, sama-sama doakan dia akan kembali ke jalan Islam yang sebenar. Jika dia sudah mereng, tidak mengapa kerana tiada dosa pada seorang yang gila.

Sekian dahulu, insya-Allah, kita akan bertemu kembali. Semoga perkongsian ini memberikan sedikit sebanyak manfaat dan peringatan kepada diri kita semua. Amin Ya Rabb…

05-11-2010 / 28 Zulkaedah 1431H
UIAM, Gombak.

*Foto dari Koleksi Peribadi Kolumnis.