09 Ogos 1957 – 26 September 2009

DSC02545

Assalamualaikum w.b.t.
Syukur alhamdulillah, lewat petang tadi usai Majlis Tahlil yang saya adakan untuk arwah Abah saya, Allahyarham Abdul Latiff bin Radizuan dan saudara-mara yang lain. Buat pertama kalinya, rumah yang saya duduki sekarang telah ‘menyambut’ tetamu-tetamunya dengan cukup bermakna. Jutaan terima kasih dihulurkan kepada Sayidah Mu’izzah, Redzuan, Kojah, keluarga terdekat dan mereka yang telah sudi menghulurkan bantuan demi menjayakan majlis ini.
Ramadhan bakal menjelang tidak lama lagi. Dan di sebalik bulan Ramadhan serta di sebalik tarikh hari ini, ada sesuatu yang menggamit pilu. Sedari tadi, rasa sebak yang menyelubungi diri ini masih terasa walaupun saya cuba menafikannya. Sebaik sampai di rumah malam tadi, lantas jemari ini laju sahaja meniti di atas papan kekunci dan mengetuk aksara demi aksara, membentuk ayat demi ayat yang serasa bermakna untuk saya perturunkan di sini hari ini.
53 tahun yang lalu, telah lahir seorang lelaki yang sangat istimewa dalam hidup saya. Terlalu istimewa. Beliau menjadi antara manusia yang paling dekat untuk saya berkongsi suka-duka kehidupan. Malah, seringkali juga beliau menjadi tempat untuk saya mengadu masalah. Tarikh hari ini pada 53 tahun yang lalu adalah merupakan tarikh kelahiran arwah Abah saya. Betapa tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya tanpa beliau.
Selain itu, bulan ini juga kita bakal menyambut Ramadhan al-Mubarrak. Dan saya masih ingat betapa Ramadhan yang lalu sangat menguji kesabaran saya , diikuti dengan Syawal yang merupakan dugaan yang amat perit untuk saya, bonda dan adik serta keluarga keseluruhannya tempuhi. Tanggal 26 September 2009 bersamaan dengan 6 Syawal 1430H, saya telah kehilangan lelaki istimewa itu buat selama-lamanya. Ya, beliau telah kembali ke Rahmatullah pada hari raya keenam tahun lalu.
Dan sekarang, saya tertanya-tanya seorang diri. Bagaimana mungkin untuk saya lalui tarikh hari ini? Bermaknakah Ramadhan kali ini tanpa lelaki istimewa itu? Dan harus bagaimanakah saya membahagiakan adik serta bonda tercinta menjelang Syawal kelak?
Walau apapun, saya harus tetap yakin dan percaya bahawa inilah lumrah. Pasti ada kehidupan, dan pasti ada kematian. Sementara hayat dikandung badan, teruskan perjuangan untuk sentiasa dekat dengan-Nya, berbakti kepada ibubapa dan keluarga serta kawan-kawan.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benar beriman, dan nyata pula diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-‘Ankabut, ayat 2-3)

Akhir kata, mohon disedekahkan bacaan surah al-Fatihah buat arwah Abah saya, Abdul Latiff bin Radizuan seterusnya muslimin dan muslimat. Al-Fatihah…