Assalamualaikum w.b.t.
Apa yang kamu faham tentang ADAB? SOPAN? Apa yang kamu pelajari semasa kecil dulu?
Saya masih ingat, sewaktu saya kecil, arwah opah dan atuk saya sangat menekankan soal adab. Mereka mengajar saya untuk hormatkan orang, walaupun orang itu tidak selayaknya mendapat penghormatan tersebut.
Kalau mahu membeli atau meminta sesuatu, selalunya atuk akan cakap begini pada saya. “Apis, kalau nak mintak tu, mintaklah elok-elok. Tak payah nak marah-marah.” Begitulah lebih kurang ayat atuk saya yang masih saya pegang hingga ke hari ini. Dan bermula dari hari itu, saya cukup pantang kalau ada orang yang meminta atau membeli, mahupun menyerahkan sesuatu barang secara agak kasar atau kurang sopan.
Saya agak terkilan dan kecewa dengan sikap segelintir muda-mudi sekarang (walaupun saya termasuk dalam golongan ini). Awal pagi tadi, saya singgah bersarapan di salah sebuah kafe di UIAM, Gombak. Sedang saya sibuk meneliti ‘fund price’ dan juga Kuala Lumpur Komposit Indeks (KLCI), baru sahaja mencapai telefon genggam untuk menelefon klien saya, secara tiba-tiba meja saya telah dilanggar oleh seorang pemuda dan ia menyebabkan air yang berada di atas meja saya tumpah. Saya segera mengalihkan komputer riba saya agar tidak dimasuki air dengan lebih banyak lagi, manakala dia dengan cepat mengambil tisu untuk mengelap air yang telah tertumpah. Yang membuatkan saya sedikit terkilan ialah, tidak langsung sepatah perkataan MAAF pun keluar dari mulut dia. Setelah dia menyerahkan tisu kepada saya, terus sahaja dia beredar. Dan bagi saya pula, saya tidak mahu melihat dia dengan teliti kerana takut hati yang tengah panas membara melakukan suatu tindakan yang kurang elok pula terhadapnya.
Perkara kedua juga berlaku di dalam kawasan yang sama. Saya sibuk menyiapkan kerja sambil menulis nota menjelang peperiksaan pertengahan tahun yang bakal tiba tidak lama lagi. Hari pula telah menginjak ke tengah hari, maka semakin ramai yang berada di situ. Tiba-tiba, sekumpulan pemudi datang menghampiri ke arah saya, lalu duduk bersebelahan dengan meja yang sedang saya duduki. Salah seorang daripada mereka meletakkan begnya di atas kerusi berhadapan dengan saya lalu terus pergi membeli makanan. Rasa sakit hati pada pagi tadi yang sudah sedikit reda, kini kembali merajai hati. Saya jadi jengkel. Susah sangatkah mahu bertanya kepada saya, sama ada kerusi di meja saya ini ada orang atau tidak. Atau setidak-tidaknya, memohon kebenaran untuk meletak beg tersebut. Bukanlah maksud saya, meja tersebut saya yang punya sehinggakan orang lain tidak boleh berkongsi. Tetapi, persoalannya di manakah adab pemudi tersebut? Sudahlah dengan muka ‘slumber’ dan tiada langsung riak bersalah. Huh!
Dan hari ini di dalam kawasan yang sama, kakak angkat saya, Kak Nasriah Abdul Salam telah kehilangan jubah yang baru dibelinya beberapa hari yang lalu bersama-sama saya dan Eja. Jubah yang disidai di ampaian dengan penuh harapan agar dapat memakainya pada hari ini lesap begitu sahaja. Sudahlah baru semalam sahaja dia menyambut ulangtahun kelahirannya. Sekali lagi persoalan saya, ke manakah hilangnya adab muda-mudi kini?
Semoga kita semua boleh mengambil iktibar. Untuk mendapat penghormatan daripada orang lain, kita perlu hormatkan orang lain dahulu. Itu yang menjadi kata kunci saya hari ini!
Category: #SEMBANGPIS
Assalamualaikum Hafiz,
Eja amat kesal dengan apa yang berlaku.Tidak tahu apa yang harus saya katakan…Memang geram. Apa pun sabar, dan setiap yang berlaku pasti akan disertai tarbiah dari Allah,juga hikmah yang tidak pernah kita lihat secepatnya.
Waalaikumussalam Eja…
Alhamdulillah, masa itu masih boleh bersabar. Kalau tidak, saya tidak pasti apa yang akan berlaku. Insya-Allah, semoga ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku.