Selamat Tahun Baru Masihi

Kredit: Google
Assalamualaikum w.b.t.
MALAM ini sangat indah dan mengujakan bagi sesetengah orang. Di kota metropolitan itu, pastinya mereka  sedang berhimpit-himpit untuk memenuhkan ruang-ruang di hadapan bagi menyaksikan persembahan-persembahan sempena kedatangan tahun baru. Berbondong-bondong manusia di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Namun, aku tetap di sini. Menyembunyikan diri di dalam ‘dunia’ kecilku, bertemankan bunyi cengkerik dan mesranya alam. Sangat mengasyikkan!
Setagal, aku melangkah ke luar rumah. Mendongak ke dada langit. Jika di Kuala Lumpur, pastinya dada langit sekarang sedang berdebar-debar kerana sebentar lagi bakal dipanah percikan bunga api. Tetapi di sini, aku hanya memerhati dada langit yang tidak jemu dikunjung rembulan dan bebintang. Ya, aku lebih gemar memuja bulan dan bintang jika dibandingkan dengan cantiknya percikan bunga api itu.
Apapun, Selamat Tahun Baru Masihi kepada semua pengujung teratak kecil ini.
01-01-2010 / 15 Muharam 1431H
Teratak Bonda, Taiping.