![]() |
Kredit: Google |
Assalamualaikum w.b.t.
Hening pagi mencengkam diri. Bunyi cengkerik sudah tidak lagi kedengaran. Yang tinggal hanyalah deru angin yang sedikit menyejukkan, terhasil dari kipas siling yang berada tegak di atas kepala. Sayup kedengaran laungan azan oleh mu’azzin yang bertugas pada pagi sunyi itu, menandakan telah masuk waktu solat Subuh.
Aku masih setia di sini. Bebola mata yang akur mengikut setiap bait kata yang tertulis di skrin komputer riba ini sudah agak lesu. Jemari ini sudah lenguh menekan aksara demi aksara. Namun, digagahkannya juga.
Aku melihat kalendar yang tergantung di bahagian kiri pintu bilikku. Erm, hari ini sudah 31 Disember 2009. Sudah penghujung tahun rupa-rupanya, tetapi masih banyak yang belum aku kecapi. Menarik nafas sedalam mungkin dan menghelanya dengan agak keras. Sedikit lega setelah dirasakan helaan nafasku tadi sepertinya melepaskan beban yang tertanggung selama ini.
2009 akan sentiasa terpahat utuh dalam kantung kenanganku. Sepanjang tahun ini, terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa aku tempuhi. Paling menyentuh kalbu, aku kehilangan ayahanda kesayanganku. Aku hilang tempat bergantung, walaupun aku masih mempunyai bonda yang amat mengasihiku.
“Abah, Apis sangat rindukan abah…” Hanya mampu ku ucapkan dalam hati. Mata yang tadinya agak lesu kerana menahan rasa kantuk kini bergenang. Sebak mengisi ruang dada yang semakin sempit.
Dan sudah semestinya, tahun ini juga banyak mengajar aku erti kesabaran dan ketabahan yang sebenar. Kerjaya masih berada di tahap memuaskan walaupun banyak yang masih belum dapat dikecapi. Namun, janji Allah terpatri di hati. Setiap kesusahan akan ada kesenangan.
2009 menemukan aku dengan ‘dia’ yang akan terus menemaniku sepanjang hayat ini, insya-Allah. “Malam ini, bulan jadi saksi; bahawa aku telah memetik sebutir bintang yang memagarinya, ku sulam ia menjadi sebentuk cincin yang memagari jemari manismu.”
![]() |
Kredit: Google |
Aku teruja menanti tahun 2010 menjelma. Perjalanan baru akan bermula. Debaran demi debaran yang akan dilalui, aku akan harunginya dengan tenang, insya-Allah. Doakan sahaja segala kebaikan berpihak kepadaku.
Kawan, teman, rakan, sahabat, saudaraku… Marilah kita bersatu mengejar apa sahaja yang bermakna dalam hidupmu!
Matlamatku? Arah tujuku? Akan aku perturunkan satu persatu apabila bermulanya hari itu. Tunggu…!!!
Category: #SEMBANGPIS
2009 yang padat dengan kemanisan dan kepahitan..Terima kasih untuk setiapnya… =)
assalamualaikum w.b.t.
sayidah mu'izzah,
benar. tahun yang padat dengan kemanisan juga kepahitan. setiap satunya ditelan seikhlas hati… reda dengan perjalanan yang telah ditempuhi bersama. =)
InsyaAllah anda akan tempuh dgn penuh bergaya. 2009 tahun yang mencabar tetapi anda berjaya menempuhnya walaupun penuh rintangan. Jangan risau tentang masa depan, percaya kepada kebolehan diri dan Allah akan membuka jalan terbaik untuk anda.
Salam En. Khairil,
Insya-Allah. Terima kasih atas sokongan yang tidak putus-putus. Semoga sama-sama kecapi kejayaan.