Ujian Yang Indah

Assalamualaikum w.b.t.
Saya sangat yakin dan pasti bahawa setiap daripada kita, sekalian hambaNya, pernah diuji, sedang diuji dan akan diuji. Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada ujianNya, bukan?
“Adakah kamu akan dibiarkan berkata, kami sudah beriman, sedangkan kamu masih belum diuji?” – Firman Allah s.w.t
Ya, sekarang saya diuji. Namun, jujurnya ujian ini adalah yang maha indah. Terkandung banyak hikmah yang sama ada tersurat mahupun tersirat di depan mata saya sendiri, dan mungkin juga orang-orang di sekeliling saya.
Harapan saya agar ayahanda tercinta, Abdul Latiff bin Radizuan tabah untuk meneruskan perjuangan hidupnya. Moga beliau kental dan kuat semangat untuk menghadapi ujian Allah s.w.t.
“Abah, insyaAllah, selagi Hafiz terdaya, Hafiz akan tetap sentiasa di sisi Abah, menemani Abah sepanjang perjuangan ini. Sabarlah dengan ujian ini, Abah. Hafiz, Mama dan Adik akan sentiasa menyokong Abah.”

*Gambar ini diambil ketika bercuti ke Pulau Langkawi. Abah yang masih sihat ketika itu, Mama yang masih ceria, Adik yang masih bergembira kerana mendapat percutian yang diingininya dan saya yang masih berbelah rasa.
Kalian, betapa rindunya saya akan leteran Abah, sikap ambil berat Abah, ‘mulut laser’ Abah, dan macam-macam lagi. Kalian, sementara masih ada peluang untuk bergurau senda, untuk bermanja dengan ayahanda dan bonda kalian, lakukanlah! Moga-moga ikatan kasih sayang antara kalian dengan ayahanda dan bonda kalian bertambah erat.
04-09-2009
Seri Kembangan.