Pesta Buku di PWTC

Assalamualaikum w.b.t.
Buat kalian…
Alhamdulillah, selesai sahaja ‘weekly training’ di Sterling Consultants, saya berkejar ke pesta buku di PWTC. Ingin menyokong teman-teman penulis yang sedang rancak mengeluarkan novel hasil karya masing-masing. Sempat juga saya bertemu dengan Aidil Khalid (Mantan MPR2007), novelis Bila Nysrah Kata Tak Mahu, Hafizul Osman (Mantan MPR2007), Azree Ariffin (Mantan MPR2005) beserta temannya dan juga Sayidah Mu’izzah (Mantan MPR2007), novelis Janji Miftahul Raudhah (dilancarkan pada hari ini). Saya bangga melihat ketekunan dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh Aidil, Mu’izzah dan juga teman-teman yang lain. Walaupun sibuk dengan kuliah, peperiksaan dan juga tugas harian, namun masih juga sempat meluangkan masa untuk menghasilkan karya-karya terkini dan sensasi.
Seawal pagi, Aidil telah mula mempromosikan novel beliau. Manakala Mu’izzah pula mula mempromosikan novel beliau pada sebelah petangnya. Lelah menghadapi peperiksaan (masih belum tidur sehari suntuk) seakan berlalu pergi apabila melihat novel sulung beliau berada dalam pegangannya. Bagi saya pula, melihat rakan-rakan novelis menandatangani hasil karya mereka setelah dibeli oleh pengunjung (seakan artis gayanya), melayani karenah peminat-peminat mereka, secara tidak langsung membuatkan saya teruja (walau hakikatnya terselit juga rasa cemburu, tapi cemburu yang baik-baik ya!)
Selesai minum petang, saya dan Mu’izzah melawat ke gerai Jemari Seni dan berkesempatan untuk bertemu dengan novelis kesayangan saya, Pn. Noor Suraya Adnan (antara karya kesayangan Biru Ungu Cinta dan Surat Ungu Untuk Nuha). Terharu apabila Kak Su (saya menggelarnya begitu) masih lagi ingat pada saya. Alhamdulillah, lewat sore itu, Kak Su menghadiahkan saya novel kanak-kanak beliau lengkap ditandatangani oleh beliau (dengan harapan agar saya menulis semula). Heheh.
Kalian, doakan saya memiliki kekuatan untuk menyahut cabaran mereka semua. Namun, bukan kerana cabaran semata-mata, tetapi atas rasa CINTA yang sangat mendalam terhadap dunia penulisan, saya akan berusaha! Ajaa… Ajaa… Fighting! Baasyah! (Gaya Ju Yoo Rin dalam drama Korea, My Girl)
18-04-2009
Gombak.