Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
Kejayaan tidak berlaku dengan sendirinya. Dalam kehidupan seharian, ramai di antara kita mungkin tidak menyedari yang kita sebenarnya telah melepaskan peluang keemasan untuk menempa kejayaan dalam hidup. Setiap kali peluang itu hadir, kebanyakan dari kita sering berasa ragu-ragu atau berprasangka tanpa mengetahui dalam masa yang sama, kita telah membiarkan peluang sekali seumur hidup itu berlalu begitu sahaja.
Tetapi, sudah tentu ada juga yang menyedari serta nampak akan apa yang dikatakan peluang itu. Orang yang sebegini akan memahami bahawa peluang untuk berjaya tidak datang selalu dan mereka akan menyambut peluang tersebut dengan pantas sebelum ia lenyap. Sedikit pun mereka tidak merasa gusar mahupun terlalu bimbang; sebaliknya menganggap segala risiko serta kehidupan yang bakal ditempuhi sebagai sesuatu yang mengujakan. Segalanya mungkin sesuatu yang baru bagi mereka dan tidak pernah mereka alami sebelum ini, namun tidak sekali-kali mereka membiarkan tanggapan serta aspek-aspek negatif menjadi penghalang atau mengganggu mereka di dalam mengejar impian. Mereka juga tahu bahawa mimpi akan kekal sebagai sebuah mimpi seandainya ia tidak direalisasikan. Mimpi tidak bermakna tanpa keberanian yang nyata. Orang yang optimis sentiasa memandang kehidupan ibarat sebiji gelas yang separuh penuh. Sebaliknya, seorang pesimis sentiasa meletakkan kesalahan pada sekeliling mereka umpama mempersoalkan mengapa gelas mereka sentiasa separuh kosong!
Optimis dan dinamis… Kedua-duanya adalah penggerak kejayaan, yang mana sifat ini ada pada mereka yang percaya bahawa setiap cabaran menjanjikan kehidupan yang lebih bermakna. Satu contoh yang harus diambil sebagai panduan adalah bagaimana Thomas Alva Edison, seorang saintis terkemuka, tidak pernah mengenal penat lelah sungguhpun banyak ciptaan beliau sebelum itu telah mengalami kegagalan. Hari ini, selepas hampir seratus tahun, ciptaan beliaulah yang telah menerangi kehidupan kita seharian.
Edison berpegang kepada falsafah bahawa; “Setiap rintangan atau permasalahan yang dihadapi, pasti ada jalan penyelesaiannya.” Ini jelas membuktikan bahawa apa pun kesukaran yang menimpa, setiap satu daripadanya mempunyai caranya yang tersendiri untuk diatasi selagi kita percaya akan kebolehan serta semangat yang kita ada. Berusaha bersungguh-sungguh kea rah kejayaan adalah satu sifat yang positif. Sekiranya kita cenderung kepada tanggapan dan sifat-sifat negatif, sudah pasti kita akan berakhir dengan kegagalan.
Kemampuan dan kebolehan seseorang itu tidak boleh diukur. Sekali kita mula mempersoalkan kemampuan kita, tanpa disedari, kita juga telah memusnahkan jalan ke arah kejayaan. Sebaliknya, jika kita terus menapak ke hadapan dengan langkah penuh optimis serta mengesan cabaran-cabaran yang akan timbul dengan penuh berani, kita pasti berjaya. Seperti Edison yang telah berjaya mengecapi kejayaan beliau yang tersendiri, kita juga dapat menggenggam kejayaan kita sendiri. Dan seperti beliau – kita pasti akan dikejutkan dengan ‘SEMANGAT KEPAHLAWAN’ yang sebenarnya wujud dalam diri kita.
Di awal pembabitan seseorang dalam menempuh kejayaannya, pasti banyak dugaan dan rintangan. Percayalah, dua permasalahan inilah yang sebenarnya akan menjadikan kita berbangga atas kejayaan kita. Inilah cerita kejayaan kita yang akan kita sampaikan kepada orang lain kelak.. Harungi dengan tenang dan percaya kejayaan pasti akan muncul.
Tahun-tahun yang mendatang ini akan merupakan tahun-tahun yang menyeronokkan bagi mereka yang bekerja keras sehingga layak menjadi penerima anugerah-anugerah utama syarikat. Ia membuktikan bahawa syarikat benar-benar memegang janji dengan memberi keistimewaan dan keraian yang hebat kepada mereka yang berusaha untuk kemajuan diri. Sebagai sebuah syarikat yang hebat, ia mampu memberikan penghargaan dan pengiktirafan yang hebat kepada mereka yang mencapai kejayaan yang hebat juga. Sterling Consultants merupakan agensi yang menerima anugerah terbesar pada Malam Anugerah Cawangan Bangsar, Cheras, Damansara Perdana dan Klang baru-baru ini. Oleh itu, dengan keazaman untuk mengulangi kejayaan bagi tahun ini, K.A.K Consultants di bawah naungan Sterling Consultants, telah merancang strategi dan mengorak langkah lebih awal untuk menjadi agensi terbaik dalam kategori AS (Agency Supervisor). Jika anda ingin menikmati kehebatan-kehebatan yang disediakan oleh syarikat, lipat gandakan usaha dan jangan pernah mengalah. Dengan azam yang teguh dan usaha yang bersungguh-sungguh, anda pasti akan terus menapak maju ke hadapan, ke arah impian yang dituju. Kami di pihak syarikat menunggu anda dengan setia di ambang kejayaan untuk mempersilakan anda masuk ke medan jaya yang penuh dengan kekayaan, kejayaan, pengiktirafan, kenikmatan dan kepuasan. Dengan dana-dana yang hebat digandingi dengan impian dan semangat yang hebat, tiada sebab untuk anda tidak berdiri sebagai orang yang hebat di persada jaya menjulang trofi pengiktirafan sebagai seorang juara bintang yang akan datang. Kata orang, ke mana arah daun bergoyang bergantung kepada arah angin yang bertiup. Sebaliknya, halatuju manusia pula terserah bulat-bulat kepada pilihan masing-masing. Oleh itu, jangan sama sekali kita meragui kebolehan diri kita. Hadapilah semua cabaran dengan yakin dan berani. Ukirlah kejayaan yang boleh membanggakan diri. Cipta sendiri rentak dan irama hidup anda.
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang berterusan. Teruskan berusaha dan gapai kejayaan. Impian dan harapan menjadi galasan utama untuk menggenggam kejayaan. Lakukan yang terbaik dan ikhlas hati, insyaAllah, pasti berjaya. Ayuh bersama kita atur langkah ke sana!
Cetusan Minda,
Mohammad Hafiz Abdul Latiff
13 Mac 2009
Seri Kembangan.
Category: #SEMBANGPIS