![]() |
Kredit: Google |
Februari 2009
Seingat saya, dua minggu berturut-turut saya mendeklamasikan puisi di UIAM, Gombak iaitu pada 5hb dan 12hb yang lalu. Minggu pertama saya deklamasikan puisi karya Harun Hashim Rashid, “Orang Palestin” dan minggu berikutnya puisi saya sendiri iaitu “Hanya Kau Milikku”.
Jadual aktiviti saya semakin padat terutamanya menjelang pertengahan bulan ini. Pada 13hb-17hb, saya terlibat dengan ‘booth’ Public Mutual Bhd. di bawah naungan Khairil Annuar Kadir Consultants bertempat di Tesco, Kajang. Sambil terlibat dengan ‘booth’, memberi penerangan tentang kepentingan membuat simpanan melalui unit amanah, menggandakan kewangan menggunakan KWSP / EPF (Akaun 1), saya terkejar-kejar juga ke Sek. Men. Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) untuk menguruskan program motivasi bagi pelajar tingkatan tiga yang akan diadakan, insyaAllah pada bulan Mac nanti.
Kehidupan semakin mencabar dan penuh dengan ujian bilamana terdapat ‘selingan-selingan’ kejadian yang tidak diingini berlaku dan mengganggu-gugat perjalanan aktiviti saya yang sangatlah menuntut kesabaran, ketabahan dan kekuatan diri saya. Betapa pun payah untuk menghadapinya, saya tetap di sini.
Rabu (18hb), kereta saya rosak di saat saya terpaksa berkejar ke sana ke sini untuk menguruskan hal program motivasi tersebut. Radiator dan pam air bocor lalu menuntut saya untuk menambah lagi ‘kredit’ saya. Khamis (19hb), kereta siap dan malam tersebut saya terpaksa juga menjalankan ‘weekly training’ agensi saya di bawah Public Mutual Bhd. dengan hati yang sangat berat. Ilmu yang ada harus juga disampaikan kepada teman-teman seperjuangan agar mereka ‘dilengkapi’ secukupnya dalam industri unit amanah ini. Mana nak fikir tentang kereta lagi, tentang program motivasi lagi, tentang macam-macam lagi. Cuma, saya masih yakin dan percaya, selagi ianya diuruskan dengan teratur, insyaAllah, segalanya akan berjalan lancar.
Jumaat (20hb), hari yang sangat melelahkan. Sungguh, segala perasaan berbaur menjadi satu semenjak dari hari Rabu lagi sebenarnya. Semasa dalam perjalanan untuk ke rumah Kak Hanie Salwah (janji pukul 8.30 malam), kereta saya sekali lagi rosak. Tiba-tiba sahaja berbau hangit dan kepulan asap tebal keluar melalui enjin. Sehinggakan malam itu, kereta saya terpaksa ditunda dengan ‘towing car’ (melayang lagi RM). Sampai di bengkel, saya diberitahu yang paip radiator bocor, air langsung tiada dalam tangki lalu menyebabkan kereta terlebih panas secara mendadak. Sekali lagi, ia bakal menuntut harga yang agak menyesakkan fikiran (kerana terpaksa menambah ‘kredit’ lagi). Maaf kepada Kak Hanie Salwah dan Ainunl Muaiyanah, kerana sepatutnya kita bertemu dan bercanda pada malam itu. Maaf ya?
Setelah kereta dihantar ke bengkel, buat kali pertamanya sejak dua tahun lebih saya menetap di Taman Equine, Seri Kembangan, saya terpaksa menapak (berjalan kaki) dari Jaya Jusco sehinggalah ke rumah sewa saya (jarak perjalanan kira-kira 5km). Saya tidak kisah lagi jika ianya perjalanan yang menyeronokkan, tetapi ia adalah merupakan perjalanan yang sangat menyakitkan. Sakit hati, sakit tulang belakang, sakit yang entah apa-apa lagi yang hadir. Saya kena turun-naik bukit, berjalan dalam gelap dan yang lagi penting, membawa beg galas yang agak berat! Apa yang lebih menyedihkan ialah sikap pemandu dan penunggang yang hanya lalu di tepi saya. Bukanlah mengharapkan bantuan, cuma tiadakah langsung rasa ingin berhenti dan menumpangkan saya? Agaknya kalau saya ini seorang perempuan, mungkinlah saya akan ditumpangkan. Betul tak?
Pukul 11.30 malam saya sampai di rumah dengan baju yang basah kuyup dek peluh. Lebih sadis, saya rasa macam ‘terapung’ kerana kaki sudah terasa seperti tidak memijak lantai simen rumah lagi. Tulang belakang terasa ditarik-tarik, kepala berdenyut kuat dan entah apa lagilah seksaan zahir dan batin yang dirasakan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa lelahnya saya pada hari itu.
Waktu ini, saya hanya mampu berdoa agar Allah memberikan ketabahan, kekuatan, kesabaran dan keimanan agar saya terus berdiri teguh. Sekarang, terasa betapa sakitnya seluruh badan terutamanya kaki, tulang belakang dan bahu. Ya Allah, kuatkan hatiku. Walaupun rintangan, dugaan, cabaran dan ujian maha hebat datang, saya akan cuba atasi dan hadapinya dengan senyuman (walaupun tubir mata sudah melimbur dan hanya menunggu masa untuk menjujuh keluar). Kredit kedua-dua telefon bimbit saya sudah habis gara-gara kereta yang rosak dan saya sangat berharap agar malam ini saya dapat berbual dan meluah rasa pada ‘dia’. Saya terima khidmat pesanan ringkas ‘dia’, tetapi apakan daya saya tidak mampu membalasnya. Biarlah ‘dia’ menganggap bahawa saya mungkin melupakannya. Hanya Dia yang lebih tahu apa yang tidak diketahui oleh hamba-hambaNya.
“Awak… Hari ini rasa macam pelik sangat. Rasa ada sesuatu yang ‘hilang’. Rasa ada sesuatu yang ‘kurang’ dan ‘tidak lengkap’… Maafkan saya…”
21-02-2009, 02.30 pagi
Seri Kembangan.
Category: #SEMBANGPIS
tidak apa. saya tidak kisah pun. cuma saya terkilan kita jumpa terlalu singkat.
mana semua masa lalu yang indah~
hihi
salam…
ainunl muaiyanah…
saya pun terkilan sebab kita jumpa sekejap sangat. masa yang berlalu terlalu pantas hingga kita tidak sedar pun apa yang berlaku… tapi, ia tetap meninggalkan memori yang indah dalam diari hidup saya… betul tak kak hanie? hehe…