Hidup…

Hidup ini akan lebih bererti
seandainya ada yang memahami
apa yang tersurat dan tersirat di hati
Rindu yang bergelora membuka
mata dan hati untuk bersuara
bersuara pada kedamaian;
bersuara pada keamanan;
bersuara pada kejujuran;
bersuara pada keikhlasan;
dan akhirnya bersuara pada keinsafan
Insaf pada sesuatu yang tidak dimiliki
sekeping hati yang telah dilukai…

Hidup ini akan lebih bermakna
seandainya ada yang bersuara
dengan swadaya dirinya
Rindu yang menggila membuka
jiwa yang cuba menenangkannya
sedamai taman firdausi;
seindah astaka syurgawi;
semerbak haruman kasturi;
seceria Sang Mentari;
mengisi kekosongan hidup yang sunyi
memenuhi kesepian dalam dunia realiti…

Segalanya mungkin di sini…
dan aku masih menyendiri
menghilangkan duka lara di hati.

Hafiz Latiff
15-04-2005
Kuala Lumpur.